Powered By Blogger

Pesta Menuai.




Pesta menuai adalah suatu perayaan yang disambut setiap tahun oleh masyarakat Kadazan-Dusun di Sabah selepas musim menuai untuk memuja semangat padi. Perayaan ini disambut pada 30 dan 31 Mei setiap tahun dan telah diiktiraf sebagai hari cuti rasmi di negeri Sabah.


Biasanya, dalam menyambut pesta menuai, beberapa acara akan diadakan seperti magavau (semangat padi), tarian, pertandingan ratu cantik, sukan rakyat serta pameran barang-barang tradisional hasil kerja tangan suku kaum di negeri Sabah. Pada hari tersebut juga, tapai yang dipanggil 'Kinomoi' akan dihidangkan secara percuma kepada masyarakat yang berkunjung meraikan pesta menuai ini. Pesta menuai ini biasanya akan dimulakan dengan upacara magavau. Seorang dukun wanita yang dipanggil 'Bobolian' akan mengetuai upacara ini yang dilakukan ketika matahari hampir terbenam, sehari sebelum perayaan pesta menuai bermula. 'Bobolian' akan membaca jampi serapah yang dipanggil 'Momurinait' di dalam bilik khas.


Di dalam bilik ini terletaknya 'bambaazon' atau 'bambarayon', iaitu semangat padi. Barisan kaum lelaki dan wanita pula akan menari dan menyanyi sehingga subuh dalam upacara ini. Menurut cerita, sebahagian daripada tubuh anaknya menjadi padi (parai). Manakala anggota tubuhnya yang lain menjadi tumbuh-tumbuhan. Apabila padi dan tumbuh-tumbuhan makanan ini dicipta, barulah Tuhan Dusun mencipta manusia daripada tanah yang menjadi keturunan masyarakat Kadazan-Dusun.
Masyarakat kaum Kadazan-Dusun mempercayai padi adalah suci. Hal ini demikian kerana mengandungi beberapa bahagian anak perempuan Tuhan Dusun yang terjadi daripada semangat padi. Semangat padi ini dilambangkan oleh tujuh tangkai padi yang dicabut, diikat, dan disimpan ditempat khas.
Secara amnya, masyarakat setempat melihat upacara pemujaan semangat padi ini sebagai suatu tanda kesyukuran dan wujudnya hubungan baik antara manusia dengan alam.


Selain itu, upacara ini juga dapat mewujudkan semangat bersatu padu dan tolong-menolong dalam masyarakat Kadazan-Dusun. Pada hari ini, upacara pemujaan semangat padi ini agak jarang dilakukan, terutama selepas beberapa golongan kaum Kadazan-Dusun ini memeluk agama Islam dan Kristian.


Namun begitu, masih terdapat golongan daripada kaum ini yang masih mengamalkannya untuk memperjuangkan tradisi dan amalan hidup mereka. Bagi seluruh masyarakat negeri Sabah pula, Pesta Menuai dijadikan suatu perayaan bersama untuk mewujudkan semangat muhibah dan bersatu dalam anggota masyarakat.

No comments:

Post a Comment